Isnin, 06 September 2010
Petani Jagung Hibrid Tuai Hasil Lumayan PDF Cetak Emel
Ditulis oleh Joe   
Rabu, 21 Oktober 2009 06:10


Kuala Berang: Seramai 12 peserta Program Tanaman Jagung Hibrid yang diperkenalkan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dengan kerjasama rangkaian kedai menjual makanan segera beraskan jagung, Nelson’s Franchise (M) Sdn Bhd (Nelson’s), mula menikmati hasil kerja keras mereka mengusahakan tanaman jagung berkualiti tinggi itu. Ini kerana, jagung yang ditanam sejak Julai lalu sudah mula mengeluarkan hasil dan akan dieksport ke Los Angeles, Amerika Syarikat, sekaligus memberi pulangan berlipat ganda dan meningkatkan taraf hidup serta ekonomi peserta.

Bagi peserta program, Suraya Ismail, 37, beliau sangat teruja menyertai program itu yang menjanjikan kawasan seluas  lima hektar seorang untuk menanam jagung hibrid dan melihat potensi besar dalam penanaman jagung berkualiti tinggi untuk menambah pendapatan keluarganya. “Saya tidak sabar untuk menjadi usahawan berjaya. Saya sedar banyak lagi yang perlu saya pelajari, terutama proses menuai jagung yang nyata tidak semudah disangka,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Suraya berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghantar peserta menghadiri kursus bimbingan penanaman jagung hibrid untuk eksport yang banyak membantu mereka menanam dengan cara betul sekaligus mengeluarkan hasil berkualiti gred A dan B. “Saya berharap kerajaan negeri dapat memperluaskan pemilihan serta pengagihan lokasi penanaman jagung ini dalam usaha memberi galakan kepada golongan muda menguruskan tanaman sendiri. Kebanyakan mereka tidak tahu manfaat menjadi petani,” katanya yang berasal dari Kuala Ping, di sini.

Sulaiman Mamat, 50, pula berkata dengan terciptanya cara perladangan moden yang dipanggil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (Salam), mereka semakin teruja dengan imbuhan ditawarkan selepas puas membanting tulang menanam sendiri jagung di ladang. “Apabila pengerusi JKKK menawarkan program ini kepada saya, mulanya seperti tidak percaya ia boleh membantu meningkatkan ekonomi keluarga, tetapi setelah mendengar taklimat daripada pegawai TADC, akhirnya berjaya membuka mata saya untuk terbabit dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai operasi TADC, Mohd Rosli Harun berkata, TADC menjangka akan membuat penghantaran sulung jagung hibrid Terengganu yang sudah diproses bernilai RM4.8 juta ke Los Angeles mulai bulan depan. Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan projek penanaman jagung hibrid yang dipertingkatkan kualiti secara genetik, di kawasan seluas 30 hektar membabitkan 12 peserta terdiri daripada penduduk miskin tempatan.

Kali Terakhir dikemaskini ( Khamis, 10 Disember 2009 15:42 )