Isnin, 06 September 2010
TADC Pembekal Benih Kerapu Negara PDF Cetak Emel
Ditulis oleh Joe   
Rabu, 24 Mac 2010 02:26

TANJUNG DEMONG - Satu lawatan kerja telah diadakan oleh Y.A.B. Dato’ Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu pada 21 Mac 2010 di Projek Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi di Tanjung Demong, Besut. Masalah kekurangan bekalan benih dan ikan kerapu negara dijangka dapat diatasi apabila projek pembenihan dan ternakan ikan kerapu dekat Bukit Keluang mengeluarkan hasil.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju menjadikan projek usahasama Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan Seraya Akuatik (M) Sdn Bhd sebagai pembekal utama benih ikan negara. Dengan keputusan tersebut menjadikan TADC mendapat pengiktirafan selain mempunyai daya saing.

Menurutnya, projek yang dikendalikan TADC dan mendapat khidmat pakar dari Thailand itu dijangka mampu menghasilkan kira-kira 10 juta benih ikan kerapu setahun. Projek ini juga adalah inisiatif kerajaan untuk membangunkan ekonomi dan meningkatkan tahap pendapatan rakyat pantai timur iaitu rakyat Terengganu khususnya.

Projek ini akan melibatkan penyertaan seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada penduduk Program Pembangunan Rakyat Termiskin dan dengan penyertaan di dalam projek ini pendapatan mereka akan dapat ditambahnilai. “Kerajaan Negeri menyasarkan kira-kira 180 tan metrik pengeluaran akuakultur negara dapat dihasilkan dalam setahun mengikut saiz pasaran merangkumi aspek pembenihan, ternakan spesies ikan bermutu selain turut menitikberatkan aspek pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis lawatan kerja Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar ke kawasan Projek Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi di Terengganu Marine Culture Centre (TMCC), di sini. Sementara itu, Noh berkata, negara kini menghadapi masalah kekurangan bekalan benih ikan menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport benih ikan dari luar negara. Bagaimanapun, dengan kejayaan TADC menghasilkan jutaan benih ikan bermutu, masalah berkenaan dijangka dapat diselesaikan.

Projek Pembenihan dan Ternakan Ikan Kerapu Berteknologi Tinggi ini turut mendapat bantuan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu (PPNT), Kerajaan Negeri, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan beberapa agensi lain manakala operasinya dikendalikan pakar Supalurk Prasirtpun dari Thailand. Pusat ternakan ini menggunakan dua teknik pembenihan iaitu pembenihan semula jadi dan tiruan. Selain pasaran dalam Negara, ikan dan benih kerapu turut mendapat permintaan dari Vietnam, Taiwan, China, Thailand, Singapura dan Hong Kong.


Upacara melepaskan benih ikan kerapu di Jeti Bukit Keluang

Turut serta dalam lawatan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Encik Rozi Mamat, Ahli Parlimen Besut, Dato’ Dr Abdullah Muhammad Zin, Pengerusi Lembaga Pengarah TADC, Encik Razali Idris dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Kali Terakhir dikemaskini ( Khamis, 22 April 2010 07:08 )